AKSI Jota meledak gol kedua Liverpool.  FOTO EPA
AKSI Jota meledak gol kedua Liverpool. FOTO EPA
AFP

Liverpool, England: Jurgen Klopp mengakui Liverpool sukar menggugat kedudukan Manchester City tetapi The Reds masih berpeluang memburu gelaran Liga Perdana selepas dua jaringan Diogo Jota menewaskan Leicester City 2-0 awal pagi tadi.

Kemenangan di Anfield membolehkan skuad Klopp mengurangkan jurang dengan City di puncak liga kepada sembilan mata daripada 23 perlawanan tetapi Liverpool berkelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding juara Inggeris itu.

"Saya tak fikir mereka rasa terancam," kata Klopp. "Tetapi kami berusaha menang setiap baki perlawanan."

Dengan Mohamed Salah direhatkan di bangku simpanan selepas tamat misi Piala Negara Afrika dan Sadio Mane masih lagi meraikan kejayaan Senegal, Jota terus mempamerkan ketajamannya musim ini.

Bintang Portugal itu meledak dari jarak dekat untuk gol pendahuluan pada babak pertama sebelum jaringan kedua ketika permainan berbaki tiga minit untuk keseluruhan 17 gol musim ini.

"Dia memang penjaring gol pada saat diperlukan dengan ketiadaan Sadio dan Mo," kata Klopp. "Kami tiada idea, dia seperti tiada had beraksi."

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers kembali ke Anfield dengan tekanan untuk memulihkan semangat pasukannya selepas diaibkan 1-4 oleh kelab Liga Kejuaraan, Nottingham Forest dalam aksi Piala FA Ahad lalu.

Bagaimanapun, dia tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya selepas beberapa pemain utama termasuk Youri Tielemans tidak beraksi.

"Malam ini kami menentang pasukan hebat dan beraksi sangat baik sehingga penghujung perlawanan. Saya gembira dengan semangat ditunjukkan mereka," kata Rodgers.

Liverpool satu-satunya pasukan Liga Perdana belum tewas di tempat sendiri musim ini, menang 11 daripada 15 aksi terakhir liga di Anfield.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 7:51 AM