JOTA (kanan) merembat kencang gol kemenangan Liverpool. FOTO AFP
JOTA (kanan) merembat kencang gol kemenangan Liverpool. FOTO AFP
AFP

Wolverhampton, United Kingdom: Jurgen Klopp berkata beliau tiada masalah meraih kemenangan 'buruk' selepas Diogo Jota menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.

Enam kekalahan berturut-turut di tempat sendiri menyukarkan peluang Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan tetapi skuad Klopp kini menang enam daripada tujuh aksi terakhir di luar Anfield.

Kemenangan 1-0 di Molineux itu melonjakkan kembali juara bertahan ke tangga keenam dengan lima mata di belakang Chelsea di tangga keempat.

"Semuanya mengenai keputusan,'' kata Klopp. "Ia perlawanan sukar. Kami menang tiga mata dengan buruk tapi saya puas hati. Kami perlu menang untuk kembali capai sasaran.''

Penjaga gol Wolves Rui Patricio pula terpaksa diusung keluar selepas 15 minit diberikan rawatan akibat kecederaan kepala selepas bertembung dengan rakan sendiri, Connor Coady pada lewat permainan.

JOTA  (kiri) meraikan jaringan bersama Sadio Mane.
JOTA (kiri) meraikan jaringan bersama Sadio Mane.

Bagaimanapun, pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo tidak begitu bimbang dengan keadaan pemain antarabangsa Portugal itu

"Dia ok. Dia sedar dan masih ingat apa yang berlaku. Jadi mereka beritahu saya dia ok," kata Nuno. "Dia akan pulih, tak perlu risau."

Wolves sebelum ini kehilangan penjaring terbanyak mereka sejak dua musim lalu, Raul Jimenez yang masih tidak beraksi selepas mengalami kecederaan serius ketika menentang Arsenal pada November lalu.

Ketiadaan Jimenez menambahkan lagi keperitan skuad Nuno yang kehilangan Jota selepas berpindah ke Anfield pada September lalu.

Jota turut tidak beraksi hampir tiga bulan susulan kecederaan lutut yang merencatkan permulaan cemerlang bersama Liverpool tetapi pemain sayap itu kini berharap dapat membantu pasukan layak ke Liga Juara-Juara menerusi Liga Perdana atau menjuarai gelaran Piala Eropah ketujuh.

Jota menjaringkan gol kemenangan pada lewat babak pertama menerusi rembatan dalam kotak penalti yang gagal ditepis kemas Patricio. Mohamed Salah hampir menggandakan jaringan ketika permainan berbaki lima minit tetapi dibatalkan akibat ofsaid dan Liverpool cekal bertahan untuk meraih tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 7:53 AM