REAKSI Salah dan Mane selepas tamat final Piala Negara Afrika.
REAKSI Salah dan Mane selepas tamat final Piala Negara Afrika.
Reuters

London: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah sudah melupakan kekalahan Mesir pada final Piala Negara Afrika dan kembali ke Liga Perdana bagi menghadapi perlawanan menentang Leicester City Jumaat ini, menurut Jurgen Klopp.

Rakan sekelab Salah, Sadio Mane mengetuai Senegal menjulang gelaran pertama kejohanan itu semalam selepas menewaskan Mesir 4-2 menerusi penentuan penalti.

Ketika Mane masih berada di negaranya untuk meraikan kejayaan, Klopp berkata Salah bakal memperkuatkan skuad utama berdepan The Foxes di Anfield.

"Mo sekarang sudah kembali. Sudah tentu dia kecewa tetapi tetap memandang ke hadapan di sini," kata Klopp dalam laman web kelab.

"Saya bercakap dengan dia dan perkara pertama dia kata kepada saya: 'Saya sedia' Haha!

"Dia pemain berpengalaman, dia pemain berfizikal gergasi, secara jujurnya, jadi kami perlu tunggu. Dia perlukan sedikit pemulihan dan kita tengok keadaannya esok dan dari situ kita teruskan momentum."

Mane dijangka kembali ke Liverpool Khamis ini selepas meledak penalti kemenangan buat Senegal dan disambut sebagai wira di negaranya.

"Ia seperti dunia kepadanya dan seperti dunia kepada rakyat Senegal. Kami amat menghormati kejayaan mereka," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 9:47 PM