MANE meraikan jaringannya. FOTO AFP
MANE meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp memuji Sadio Mane selepas bintang Senegal itu menjaringkan gol ke-100 untuk Liverpool ketika membantu meraih kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace hari ini sekali gus mengungguli tangga teratas Liga Perdana.

Jaringan Mane itu hadir ketika penampilan ke-224 untuk Reds pada hujung babak pertama di Anfield.

Penyerang Mesir, Mohamed Salah dan pemain tenga Guinea, Naby Keita masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk meletakkan skuad bimbingan Klopp berkelebihan tiga mata berbanding Manchester City di tangga kedua.

Ia adalah kali kesembilan berturut-turut Mane berjaya meledak gol ketika bertemu Palace.

Namun apa yang lebih penting untuk Klopp, Mane sudah menjaringkan empat gol pada musim ini sekali gus memberi bayangan dia sudah bersedia untuk melupakan kempen mengecewakan pada musim lalu.

"Ramai yang mungkin lupa sepanjang 100 gol ini dia sangat bekerja keras, bertahan untuk kami, memberi tekanan, mencipa jaringan dan peluang.

"Bermakna 100 gol itu hanya satu faktor sahaja, banyak lagi angka yang penting dilakukannya," kata Klopp.

"Saya sangat gembira kerana dia mampu mencapainya. Pencapaian yang hebat untuk kelab ini apabila hanya 18 pemain sahaja mampu menjaringkan 100 gol.

"Zaman sekarang pemain tidak selalunya kekal lama di kelab, jadi saya sangat gembira dapat bekerjasama dengannya dalam tempoh yang lama."

Skuad bimbingan Klopp memulakan kempen musim ini tanpa sebarang kekalahan apabila mencatatkan empat kemenangan daripada lima perlawanan dengan hanya bolos sekali dan meledak 12 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:14 AM