MOHAMED Salah kelihatan ralat selepas mengalami kecederaan. FOTO Reuters
MOHAMED Salah kelihatan ralat selepas mengalami kecederaan. FOTO Reuters
Reuters

PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah bakal terlepas peluang ke Piala Dunia susulan kecederaan bahu selepas pasukannya tewas 1-3 kepada Real Madrid kata pengurus pasukan Juergen Klopp.

Salah, yang menjaringkan 44 gol dalam semua kejohanan bersama Liverpool musim ini meninggalkan padang sambil menangis pada minit ke-31 selepas terjatuh akibat kekasaran dilakukan kapten Real Sergio Ramos.

Pemain Mesir itu cuba meneruskan permainan selepas menjalani rawatan di padang, namun terpaksa meninggalkan perlawanan.

Bagaimanapun Persatuan Bolasepak Mesir (FA Mesir) berkata menerusi Twitter bahawa Salah mengalami kesakitan ligamen bahu dan optimis pemain itu akan kembali cergas untuk Piala Dunia.

Menteri Belia dan Sukan Mesir Khaled Abd El-aziz di laman Facebooknya berkata: “Salah dijangka memerlukan dua minggu untuk rawatan. Dia akan terus berada di Liverpool dan menjalani pemulihan sebelum menyertai pasukan Mesir di Itali.

Dia berkata, Salah akan menyertai skuad terakhir Mesir ke Piala Dunia yang akan diumumkan 4 Jun ini.

Terdahulu Klopp memberitahu pada sidang media: “Ia satu kecederaan serius, kecederaan yang benar-benar serius. Dia berada di hospital menjalani X-Ray. Ia mungkin membabitkan tulang selangka atau bahu. Ia tidak kelihatan bagus.

“Kami kehilangan pemain yang amat penting, begitu juga Mesir yang kehilangan pemain penting untuk Piala Dunia. Saya masih berharap ia tidak berlaku sedemikian,” kata Klopp.

Prestasi Salah musim ini susulan perpindahannya daripada AS Roma menjadikannya pemain utama Liverpool dan wira negaranya.

Mesir akan berada di Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990 dan akan menentang tuan rumah Russia, Uruguay dan Arab Saudi dalam Kumpulan A. - Reuters

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 10:23 AM