AKSI Moutinho meledak rembatan kemenangan Wolves di Old Trafford. FOTO EPA
AKSI Moutinho meledak rembatan kemenangan Wolves di Old Trafford. FOTO EPA
AFP

Manchester, United Kingdom: Pertahanan Manchester United Luke Shaw mengakui pasukannya kurang agresif, kesungguhan dan tiada motivasi ketika tewas 0-1 kepada Wolves di tempat sendiri awal pagi tadi.

Kekalahan keempat dalam 10 aksi liga di Old Trafford musim ini meletakkan United di tempat ketujuh, empat mata di belakang kelompok empat teratas.

United sepatutnya mampu memberikan cabaran sengit musim ini selepas membawa masuk Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane ke dalam skuad yang menduduki tempat kedua di belakang Manchester City musim lalu.

Namun Red Devils kini ketinggalan 22 mata di belakang City selaku pendahulu dan menghampiri kelab tercorot Norwich.

Ole Gunnar Solskjaer menerima padah apabila dipecat susulan beberapa keputusan buruk pada November.

Pengurus sementara Ralf Rangnick meraih 10 mata daripada empat aksi pertama kendaliannya walaupun tidak konsisten dan mereka akhirnya dihukum lapan minit sebelum tamat menerusi rembatan Joao Moutinho bagi membolehkan Wolves menang kali pertama di Old Trafford sejak 1980.

"Lihat skuad kami, pemain yang kami ada tak dinafikan sangat berkualiti," kata Shaw kepada told Sky Sport. "Tetapi kadang-kadang kualiti sahaja tidak mencukupi.

"Kami perlukan kesungguhan, lebih agresif dan perlu lebih motivasi. Saya rasa kami tidak memiliki ketiga-tiganya.

"Dalam bilik persalinan kami tahu kami mahu menang. Kami tahu apa yang kami mahu apabila masuk ke padang dan perlu memberi 100 peratus dan segalanya.

"Untuk menang ke atas pasukan sukar seperti Wolves kami perlu komitmen 100 peratus kerana kami tahu cabaran pasti sengit.

"Kami perlu kembali fokus. Kami ada minggu latihan yang panjang dan mungkin pengurus boleh memberi lebih banyak idea apa yang dimahukan di atas padang."

Rangnick mengakui dia tidak boleh memberi jaminan United mampu menamatkan kedudukan di kelompok empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Saya tak boleh beri sebarang jaminan. Lihat prestasi hari ini. Jika saya kata kami yakin empat teratas, saya tak tahu sama ada penyokong akan mempercayainya," kata pengendali dari Jerman itu.

"Bagi saya ia mengenai langkah seterusnya dan menjadi lebih baik. Perlawanan hari ini menunjukkan perjalanan kami masih jauh dan banyak perlu diperbaiki."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 7:36 AM