RALF Rangnick (kiri) berkata sesuatu kepada penyerang Manchester United, Anthony Elanga selepas seri 1-1 ketika menentang Leicester City. FOTO AFP
RALF Rangnick (kiri) berkata sesuatu kepada penyerang Manchester United, Anthony Elanga selepas seri 1-1 ketika menentang Leicester City. FOTO AFP
Reuters

London: Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick berkata, mereka bukan pilihan untuk menduduki empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas kini menghuni tangga ketujuh berikutan seri 1-1 menentang Leicester City.

Kelab Old Trafford itu kini tiga mata di belakang empat kelab teratas dengan baki lapan lagi perlawanan musim ini.

"Tiada makna langsung apabila melihat kepada kedudukan pada setiap hujung minggu dan membincangkan mengenai berapa mata yang kami perlukan," kata Rangnick kepada wartawan.

"Sudah tentu dalam keadaan sekarang, kami bukan pilihan untuk menduduki empat teratas.

"Saya bukan tukang tilik nasib, jadi saya tidak tahu di mana Manchester United berada musim depan. Bagi kami, ini kerja saya dan ini kerja kami...menamatkan musim di kedudukan terbaik dan sebaik mungkin."

United akan menentang Everton, Sabtu ini dan Rangnick berkata, fokus utama mereka adalah meraih tiga mata.

"Kempen musim ini belum berakhir dan ada lagi baki lapan perlawanan. Saya fikir ini masa terbaik untuk membuat keputusan dan mengambil langkah sewajarnya untuk musim depan," katanya.

"Buat masa sekarang, kami fikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan tiga mata apabila menentang Everton."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 1:12 PM