SRI Pahang mengucapkan selamat maju jaya kepada 14 berkenaan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SRI Pahang mengucapkan selamat maju jaya kepada 14 berkenaan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 14 pemain, termasuk lima pemain import Sri Pahang FC musim ini sah tidak bersama kelab itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mereka adalah Muslim Ahmad yang juga kapten pasukan musim ini, Helmi Eliza Elias, Faisal Rosli, Fazly Mazlan, Zazrir Naim, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani.

Turut tidak bersama skuad Tok Gajah adalah lima import iaitu Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.

Justeru, Sri Pahang FC menerusi Facebook hari ini merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada 14 pemain berkenaan.

"Faisal adalah pemain paling lama dalam pasukan dan satu-satunya anggota skuad juara Piala Malaysia 2014 yang kekal setia membuat keputusan mengucapkan selamat tinggal dan membawa haluan berbeza selepas sembilan tahun menabur bakti.

"Begitu juga penjaga gol Helmi yang bersama pasukan sejak 2016, walaupun pada usia diklasifikasikan sebagai veteran, Helmi tetap diberi kepercayaan sebagai penjaga gol utama dan menjadi antara tonggak di barisan belakang.

"Kelibat Muslim juga pastinya dirindui selepas menjadi tunjang di posisi pertahanan sejak lima tahun lalu mengemudi benteng dengan penuh yakin dan memakai lilitan kapten musim ini akhirnya tiba masa untuk Muslim mencari angin baru.

"Fazly pula kembali ke pangkuan Johor Darul Takzim (JDT) selepas kontrak pinjamannya tamat manakala pemain muda Zazrir Naim pula menerima tawaran menyertai Pusat Latihan Polis (Pulapol).

"Ezanie, Arisazri, Hazri dan Faizal walaupun kurang membuat penampilan, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar Sri Pahang," katanya menerusi hantaran itu.

Menerusi hantaran itu, turut tidak bersama pasukan adalah lima import iaitu Goulon, Abubakar, Athiu, Hidalgo dan Kaung Mann.

Katanya, tiga musim bersama pasukan, Goulon memenangi hati penyokong dengan menjadi jantung di pertahanan pasukan malah turut menjaringkan gol penting.

"Manakala Hidalgo, Kaung Mann, Abubakar dan Athiu meskipun dibawa masuk pada pertengahan musim dan sempat bersama hanya untuk beberapa bulan, impak yang anda bawa untuk membantu pasukan keluar dari zon penyingkiran tetap kami hargai.

"Sekali lagi, kepada 14 pemain ini, terima kasih diucapkan kerana memberi komitmen dan berjuang sepenuh hati sepanjang menyarung jersi Sri Pahang, kami ucapkan semoga terus berjaya bersama pasukan baharu.

"Segala keringat yang dicurahkan untuk skuad Tok Gajah, akan tetap terpahat selamanya dalam kenangan katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 1:50 PM