Pemain import baharu Sri Pahang FC (dari kiri), Kenny Anthiu, Aung Kaung Mann, Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo. FOTO Sri Pahang FC
Pemain import baharu Sri Pahang FC (dari kiri), Kenny Anthiu, Aung Kaung Mann, Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mengesahkan masalah sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import baharu, Aung Kaung Mann dari Myanmar selesai semalam.

Justeru, penyerang berkenaan dijangka berada dalam senarai kesebelasan utama apabila Sri Pahang berdepan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya menerima ITC semalam, dan akan mendaftarkan Kaung Mann hari ini, bagi membolehkannya beraksi pada perlawanan menentang Perak.

"Dengan kemasukan Kaung Mann bersama tiga import baharu yang sudah beraksi ketika menentang Selangor FC kelmarin, saya percaya Sri Pahang akan tampil lebih bertenaga.

"Seperti yang dipersembahkan ketika seri 2-2 dengan Selangor, saya mengharapkan tiga mata akan menjadi milik pasukan," katanya.

Kelmarin, Sri Pahang tidak dapat menggunakan khidmat pemain Myanmar itu kerana gagal mendapatkan ITC.

Pada jendela perpindahan yang dibuka Isnin lalu, Sri Pahang memutuskan mengambil empat pemain import baharu bagi menggantikan import sedia ada.

Selain Kaung Mann, bekas penyerang Sheffield Wednesday, Manuel Hidalgo dari Argentina, Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia) menjadi pilihan.

Justeru, pasukan itu mengetepikan Yevhen Bokhashvili dari Ukraine, Lee Tuck (England), Mamadou Wague (Lubnan) dan Pedro Henrique (Timor Leste) manakala Herold Goulon (Perancis) dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:38 PM