DOLLAH Salleh. FOTO Danial Saad
DOLLAH Salleh. FOTO Danial Saad
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC bakal mempertaruhkan lima pemain import untuk memastikan tiga mata penuh diraih pasukan itu apabila berdepan Melaka United di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Ketua jurulatih, Dollah Salleh berkata, mereka adalah Aung Kaung Mann, Manuel Hidalgo, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu dan Hérold Goulon.

"Bagaimanapun, kedudukan Nick Swirad (pemain kacukan Malaysia-England) dijangka berada dalam kesebelasan utama atau tidak akan diketahui esok.

"Segalanya belum pasti kerana semua pemain mahu merebut tempat selaku pemain utama dan saya harap mereka yang terpilih akan bermain dengan baik.

"Ini kerana misi utama pasukan ialah untuk mencatat kemenangan ke atas Melaka United dalam usaha memperbaiki kedudukan liga," katanya.

Dollah berkata, segalanya mengikut perancangan dan berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan semua pemain sepanjang latihan.

Katanya, walaupun bakal berdepan tentangan sengit daripada lawan, tiada yang mustahil untuk memastikan tiga mata menjadi milik Sri Pahang.

"Saya cuma mengharapkan semua pemain dapat bermain dengan baik dan memanfaatkan segala peluang yang ada," katanya.

Difahamkan, bekas penjaga gol kebangsaan, Helmi Eliza Elias kekal mengawal gawang manakala Nor Azam Azih, Abdul Malik Mat Ariff, Faisal Rosli, Ashar Al Aafiz dan Muslim Ahmad akan menjadi pilihan utama Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 2:55 PM