MUSLIM menandatangani kontrak baharu. FOTO Sri Pahang FC
MUSLIM menandatangani kontrak baharu. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) membuat kejutan apabila kembali menyenaraikan bekas pemain kebangsaan, Muslim Ahmad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (liga M) musim ini.

SPFC membuat pengumuman itu menerusi akaun Facebook miliknya hari ini apabila mengesahkan Muslim yang juga pemain pertahanan itu memperkuatkan Sri Pahang.

Bekas kapten Sri Pahang itu pada awalnya diumumkan antara 14 pemain pemain yang tidak bersama skuad Tok Gajah selepas berakhir musim 2021.

Namun pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak bersama Sri Pahang yang menyaksikan Muslim kekal menyarung jersi kelab itu bagi musim keenam.

"Selamat kembali ke Sri Pahang, Muslim!," katanya menerusi Facebook Sri Pahang FC, hari ini.

Pada 4 Disember lalu, skuad Tok Gajah membuat rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga M musim 2022 apabila melepaskan 14 pemainnya musim lalu termasuk kapten pasukan, Muslim dan lima tenaga import.

Selain Muslim, lima pemain import itu adalah Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.

Pemain lain yang tidak bersama Sri Pahang adalah Helmi Eliza Elias, Faisal Rosli, Fazly Mazlan, Zazrir Naim, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 12:58 PM