SALAH tonggak Mesir.
SALAH tonggak Mesir.
Agensi

London: Liverpool menarik nafas lega selepas Mohamed Salah hanya beraksi setengah jam ketika membantu Mesir menewaskan Gabon 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia kelmarin.

Dengan Sadio Mane mengalami kecederaan di badan ketika beraksi untuk Senegal, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak mahu bintangnya berdepan sebarang risiko.

Jentera serangan Liverpool terjejas selepas Roberto Firmino mengalami kecederaan hamstring dan mereka tidak rela kehilangan pemain lain berdepan jadual perlawanan yang padat.

Arsenal yang kembali menyengat berkunjung ke Anfield dalam aksi Liga Perdana Ahad ini dan Salah dijangka cergas selepas hanya beraksi 30 minit untuk Mesir yang muncul juara kumpulan dan menempah tiket playoff menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar.

Mane pulang awal ke Liverpool selepas tercedera ketika membantu Senegal tetapi dia tetap menjalani latihan semalam dan tampak bakal diturunkan ketika menentang Arsenal.

Klopp sudah pasti mengharapkan Salah meneruskan momentum cemerlang musim ini yang meletakkannya antara pemain pilihan memenangi Ballon d'Or.

Manakala Arsenal pastinya menagih kecergasan kapten Pierre-Emerick Aubameyang yang dibenarkan terbang awal ke London oleh Gabon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 2:01 PM