STUART wujud sekretariat bebas di peringkat MFL.
STUART wujud sekretariat bebas di peringkat MFL.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Satu jawatankuasa bakal dibentuk bagi mengendalikan 'Financial Fair Play' (FFP) yang akan dilancarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak lama lagi.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, FFP bakal dijadikan instrumen baharu dalam mengekang isu tunggakan gaji yang sering membelenggu beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, jawatankuasa berkenaan bakal dianggotai beberapa individu agar ia bergerak secara bebas dan tegas.

"FFP ini akan ada satu jawatankuasa, ada beberapa badan lagi menilai dan sebagainya berkenaan dokumentasi dan sebagainya. Datuk Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) akan mengadakan sekretariat bebas di peringkat MFL," katanya.

Arena Metro antara media yang tegas dalam melaporkan isu tunggakan gaji turut melihat pengenalan FFP antara kaedah membendung isu ini.

Menerusi laporan khas pada Ogos lalu, pelaksanaan FFP dalam Liga M bukan sahaja dapat menyekat perbelanjaan 'tak ingat dunia' setiap pasukan, tetapi ia panduan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan tiadanya isu tunggakan gaji.

Untuk rekod, FFP satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 3:44 PM