Khalid Ali. FOTO NSTP.
Khalid Ali. FOTO NSTP.
Mohd Fitrie Muhamad


KUALA LUMPUR: Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

Itu gambaran tepat yang boleh menggambarkan usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang berhasrat menyekat dan membuat potongan geran tahunan kepada pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji.

Bagi dua bekas pemain, Kamarudin Abdullah dan Khalid Ali, langkah itu wajar dilakukan sebagai tanda tegas badan induk bola sepak negara terhadap isu membabitkan kegagalan pasukan melunaskan hutang mereka kepada jurulatih dan pemain.

Bagaimanapun mereka menggesa pasukan bertindak lebih proaktif mencari dana sekiranya mahu berbelanja besar seperti yang dilakukan pesaing lain.

“Pada dasarnya saya setuju dengan tindakan itu tapi umumnya ia bukan jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kita perlu ada cara lebih baik bagi mengatasi masalah ini.

“Asasnya baik untuk menjaga kebajikan pemain yang tidak dapat gaji. Tapi saya tidak mahu pasukan bersikap sambil lewa dengan perkara ini. Maksud saya mudah, jika ada berlaku lagi tunggakan gaji pada musim 2019, pasukan tidak menganggap ia isu besar dan segalanya boleh diselesaikan dengan potongan geran musim 2020.

“Apa pun ia inisiatif yang baik untuk menangani masalah ini namun semuanya berbalik kepada pasukan itu sendiri. Jangan terlalu bergantung kepada geran dan jika mahu berbelanja lebih, carilah duit sendiri,” kata Kamaruddin.

Kemelut tunggakan gaji membabitkan pasukan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) nyata sudah berada pada tahap paling kronik apabila jumlah 262 kes yang diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan status negara selaku ‘juara’ di benua Asia.

Jumlah itu mungkin lebih banyak jika ditambah dengan dakwaan tunggakan lain yang belum dipanjangkan ke FAM khususnya di peringkat Jawatankuasa Status atau Jawatankuasa Tatatertib.

“Jumlah 262 adalah kes terkumpul sejak beberapa tahun dan usaha menyekat serta memotong geran tahunan bukan usaha baru diperkenalkan. Isunya sekarang adalah lebih kepada pelaksanaan.

“Mungkin sebelum ini ada pasukan tidak takut dengan sebarang tindakan yang diambil FAM. Jadi saya harap kali ini ia dapat dilakukan dengan lebih tegas dan saya percaya dengan kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin kita mampu laksanakannya dengan baik,” kata Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 12:11 PM