CONTE amat menjaga pemakanan pemainnya.
CONTE amat menjaga pemakanan pemainnya.
Agensi

London: Pengurus baharu Tottenham Hotspur Antonio Conte kurang senang dengan keadaan fizikal pemain sebaik tiba di kelab itu dan pantas mengambil langkah menanganinya termasuk mengharamkan pengambilan sos dan mayonis.

Pengendali dari Itali itu tanpa membuang masa melakukan beberapa perubahan dari segi aspek pemakanan di kelab utara London bagi memastikan keadaan fizikal pemainnya bertambah baik.

Bekas ketua jurulatih Inter itu meletakkkan harapan dan sasaran yang tinggi kepada skuadnya. Dia tidak teragak-agak memberi amaran kepada pemain utama yang bertambah berat badan dan menggesa mereka mengurangkan makan.

Selain sos dan mayonis, sandwich dan beberapa makanan berat turut dilarang di kafeteria Spurs dan pemain digalakkan makan lebih banyak buah-buahan tetapi pada masa sama mengurangkan minuman jus.

Turut dikurangkan ialah pengambilan mentega dan penggunaan minyak ketika penyediaan masakan di dapur kelab. Selain itu makan tengah hari perlu dinikmati bersama sebagai satu pasukan.

"Saya perlu jujur, kami perlu ubah banyak perkara,'' kata Conte selepas tamat perlawanan menentang Everton minggu lalu.

"Setiap pemain perlu memperbaiki keadaan fizikal untuk menyesuaikan dengan idea bola sepak saya."

Menurut Athletic, Conte turut menekankan penambahbaikan dalam aspek taktikal ketika sesi latihan yang dipanjangkan masanya bagi membolehkan dia menyampaikan idea dan memperbaiki pemahaman pemain mengenai situasi atas padang.

Analisis video turut digunakan seperti dilakukan Conte selepas tamat perlawanan Liga Konferens Eropah yang dimenangi Spurs ke atas Vitesse.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 10:35 PM