AKSI Muslim (kanan) pada saingan liga. FOTO Asyraf Hamzah
AKSI Muslim (kanan) pada saingan liga. FOTO Asyraf Hamzah
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


Kuantan: Kapten Sri Pahang FC, Muslim Ahmad mengakui skuad itu perlu tampil lebih padu dan tidak boleh tewas pada empat perlawanan Piala Malaysia, khususnya tiga perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Justeru, pemain pertahanan itu akan memastikan tiga perlawanan di Kuantan iaitu berdepan Penang FC Sabtu ini, Sarawak FC (7 November) dan Kuala Lumpur City FC (10 November) berpihak kepada skuad kendalian Dollah Salleh.

"Kami tidak boleh seri pada tiga perlawanan di laman sendiri jika mahu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas dua perlawanan sebelum ini.

"Oleh itu, tiga perlawanan di Kuantan seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A.

"Selepas tewas kepada KLCity dan Sarawak United, ia memberikan tekanan kepada kami tetapi peluang masih lagi terbuka buat Sri Pahang untuk merebut tempat ke suku akhir," katanya.

Muslim berkata, rehat panjang saingan piala berprestij itu turut membantu memperbaiki segala kelemahan yang dipersembahkan selepas tewas kepada KL City dan Sarawak United.

Katanya, dua kekalahan itu memberi tamparan untuk memastikan Sri Pahang perlu tampil lebih padu dan mantap apabila menentang Penang FC di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

"Kami tidak boleh kehilangan tiga mata dan percaya misi kemenangan akan berpihak kepada pasukan," katanya.

Mengulas kemenangan ke atas Kelantan United dan UiTM FC pada aksi persahabatan baru-baru ini, Muslim gembira kerana ia memberi suntikan moral kepada pasukan itu.

"Sudah semestinya saya gembira kerana kemenangan ini membantu untuk membentuk pasukan yang lebih baik dalam memburu kemenangan pertama saingan Piala Malaysia," katanya.

Dalam Kumpulan A, Sarawak United mengutip enam mata, diikuti KL City (empat), Penang FC (satu) dan Sri Pahang tanpa sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:50 PM