Pemain Sri Pahang, Kenny Athiu (kiri) dicabar pemain Sarawak United pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Pemain Sri Pahang, Kenny Athiu (kiri) dicabar pemain Sarawak United pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh akur apabila skuad itu gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas 1-2 kepada Sarawak United di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Biarpun saingan piala berprestij itu masih berbaki satu perlawanan, bekas pemain kebangsaan itu berkata, skuad Tok Gajah tidak mampu mengejar kedudukan dalam Kumpulan A.

"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik termasuk berjaya menjaringkan gol pendahuluan tetapi gagal mempertahankan keputusan itu.

"Sebaik Sarawak United berjaya menyamakan kedudukan pemain terikut-ikut rentak permainan lawan hingga menyukarkan tambahan jaringan dilakukan.

"Sepatutnya permainan lebih pantas dipersembahkan pemain tetapi ia tidak dapat dilakukan pemain yang menyebabkan kami tewas," katanya.

Pada perlawanan itu, Sri Pahang bermula cemerlang apabila menjaringkan gol pendahuluan menerusi Kenny Athiu pada minit ke-13.

Namun, kebangkitan yang dipersembahkan pemain Sarawak United memastikan mereka mengutip tiga mata hasil daripada jaringan Sandro Da Silva dan Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-31 dan 90.

Kemenangan itu memastikan Sarawak United dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang beraksi dalam Kumpulan A menempah slot ke suku akhir Piala Malaysia biarpun masih berbaki satu perlawanan manakala Sri Pahang dan Penang FC tersingkir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 12:49 PM