Pemain Sri Pahang, Muhammad Zuhair Aizat diasak pemain Sarawak United, Stuart Wilson (kanan) pada aksi Piala Malaysia. FOTO Farizul Hafiz Awang
Pemain Sri Pahang, Muhammad Zuhair Aizat diasak pemain Sarawak United, Stuart Wilson (kanan) pada aksi Piala Malaysia. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my


Kuantan: Ketua jurulatih Sarawak United, E Elavarasan memuji semangat juang tinggi yang dipersembahkan pemainnya ketika menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul makmur, malam tadi.

Beliau berkata, kemenangan itu juga mengesahkan pasukan berkenaan layak ke suku akhir Piala Malaysia walaupun saingan piala berprestij itu masih berbaki satu perlawanan.

"Sebenarnya gol pendahuluan yang dijaringkan Sri Pahang itu mengejutkan pemain ketika pasukan sedang mencari rentak permainan.

"Bagaimanapun, sebaik gol penyamaan dihasilkan, ia memberikan semangat kepada pemain untuk beraksi dengan baik terutama mengelak daripada tewas.

"Saya puji semangat pemain yang tidak berputus asa ketika ketinggalan dan akhirnya kebangkitan yang dipersembahkan sehingga minit akhir perlawanan memastikan Sarawak United mencatat kemenangan," katanya.

Beliau berkata, kunjungan skuad bimbingannya itu dalam misi untuk mengelak daripada tewas tetapi jaringan minit akhir perlawanan membantu skuad itu mengutip tiga mata.

"Kemenangan ini juga mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun masih berbaki satu perlawanan," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Sarawak United, masing-masing satu dijaringkan oleh Sandro Da Silva dan Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-31 dan 90 manakala gol tunggal Sri Pahang dijaringkan oleh Kenny Athiu pada minit ke-13.

Dalam saingan Kumpulan A, Sarawak United dan Kuala Lumpur (KL) City FC menempah slot ke suku akhir Piala Malaysia biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 2:15 PM