SRI Pahang tidak boleh lagi kehilangan mata. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SRI Pahang tidak boleh lagi kehilangan mata. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengurusan Sri Pahang FC (SPFC) menuntut skuad Tok Gajah mengutip tiga mata apabila melayan kunjungan Penang FC di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata tiada lagi alasan untuk tidak mencapai misi itu.

"Setakat ini, pasukan sudah kehilangan lima mata apabila tidak memanfaatkan dua perlawanan di halaman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Melaka United dan PJ City FC seri 1-1.

"Perlawanan ketiga di halaman sendiri seharusnya dimanfaatkan sebaiknya dan menjadikan Penang FC untuk Sri Pahang bangkit mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

"Sri Pahang tidak boleh lagi kehilangan mata kerana ia akan menyebabkan pasukan terus berada di kedudukan terbawah Liga Super," katanya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip satu mata. Satu mata itu diperoleh ketika seri 1-1 berdepan PJ City serta tewas kepada Kedah Darul Aman FC (KFDA FC) (0-1) dan Melaka United (1-2).

Justeru, Mohammed Suffian meminta skuad kendalian Christophe Gamel mempamerkan prestasi cemerlang untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik.

Katanya, segala kelemahan perlu diperbaiki segera terutama mempertajamkan lagi jentera serangan yang dilihat begitu tumpul.

"Saya percaya semua pemain boleh melakukannya dan menjadikan perlawanan keempat liga berdepan Penang FC sebagai detik kebangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 5:17 PM