LUKAKU bergelut dengan kecederaan buku lali. FOTO EPA
LUKAKU bergelut dengan kecederaan buku lali. FOTO EPA
AFP

London: Thomas Tuchel enggan meletakkan tempoh tertentu bila Romelu Lukaku dan Timo Werner akan sembuh dari kecederaan tatkala beliau perlu menggunakan segala sumber yang ada untuk memperkuatkan bahagian serangan menjelang aksi menentang Norwich esok.

Pengurus Chelsea itu mengesahkan Lukaku dan Werner sudah pasti akan terlepas perlawanan di Stamford Bridge hujung minggu ini dan saingan Piala Liga menentang Southampton.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia tidak memberi sebarang erti untuk membuat spekulasi bila Lukaku akan kembali selepas mengalami kecederaan buku lali dan begitu juga dengan Werner yang bergelut masalah hamstring.

Christian Pulisic juga akan terlepas pertemuan dengan Norwich akibat kecederaan di buku lali, meninggalkan Kai Havertz dan Callum Hudson Odoi untuk bergandingan bersama Mason Mount di bahagian serangan.

"Romelu, Timo dan Christian tidak akan beraksi esok. Tidak ada maklumat lain mengenai Romelu dan Timo. Apa yang boleh saya katakan mereka tidak dapat beraksi esok dan juga terlepas perlawanan menentang Southampton.

"Saya rasa tidak perlu untuk membuat sebarang spekulasi berapa lama mereka akan berehat, anda sendiri juga tidak tahu, ia boleh menjadi singkat atau lebih lama dari dijangkakan," kata Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 10:44 PM