TUCHEL (tengah) bertemu barisan pemainnya selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
TUCHEL (tengah) bertemu barisan pemainnya selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
Agensi

London: Thomas Tuchel mahu barisan pemain Chelsea terus membuktikan kualiti mereka selepas menyaksikan anak buahnya membelasah Norwich City 7-0 semalam.

Tanpa barisan pemain utama iaitu Romelu Lukaku dan Timo Werner yang mengalami kecederaan, Chelsea nyata tidak berdepan masalah mengatasi Norwich di Stamford Bridge dengan Mason Mount meledak hatrik.

Ia adalah kali keempat Chelsea memenangi perlawanan di Liga Perdana dengan tujuh gol atau lebih dan yang pertama sejak Disember 2012 ketika membelasah Aston Villa 8-0.

Mount menjaringkan gol pembukaan dan dua gol lagi dihujung perlawanan dengan Callum Hudson-Odoi, Reece James, Ben Chilwell turut meledak gol manakala jaringan sendiri Max Aarons melengkapkan kemenangan bergaya Chelsea.

Tuchel mahu prestasi sama dipamerkan apabila Blues bertemu Southampton pada saingan Piala Liga awal pagi Rabu.

"Pemain memperkan prestasi terbaik, tajam di barisan depan dan sentiasa berusaha mendapatkan gol.

"Kami mempamer rentak permainan yang tinggi dan mencipta banyak peluang. Untuk menjaringkan tujuh gol anda memerlukan sedikit tuah dan momentum. Namun secara keseluruhan ia adalah perlawanan yang bagus.

"Ia baru satu perlawanan dan yang seterusnya akan berlangsung Rabu ini. Mereka perlu membuktikannya sekali lagi," katanya.

Mount tidak pernah menjaringkan gol sejak meraih kemenangan 2-0 ke atas Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara, Mei lalu namun menjadi watak penting ketika bertemu Norwich.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 8:12 AM