TIMO Werner. FOTO Agensi
TIMO Werner. FOTO Agensi
Agensi

London: Chelsea menerima suntikan semangat menjelang pertemuan dengan Leicester apabila Timo Werner kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Penyerang Jerman itu yang menjaringkan dua gol dalam 10 perlawanan untuk Blues musim ini, mengalami kecederaan ketika Chelsea menewaskan Malmo 4-0 di saingan Liga Juara-Juara dan terlepas beraksi untuk lima perlawanan.

Bagaimanapun pemain berusia 25 tahun itu dilihat kembali menjalani latihan sekali gus mencetuskan spekulasi dia mungkin akan diturunkan apabila berkunjung ke Leicester, esok.

Bintang Blues, Marcos Alonso dan Mason Mount juga dilihat menyertai sesi latihan selepas berdepan kecederaan namun tiada kelibat Mateo Kovacic yang tidak beraksi hampir tiga minggu kerana kecederaan hamstring.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel tidak pernah tewas sejak Werner mengalami kecederaan 20 Oktober lalu namun pendahulu Liga Perdana itu berdepan masalah di bahagian serangan selepas Romelu Lukaku mengalami kecederaan buku lalu pada perlawanan sama.

Ketiadaan Lukaku dan Werner memberi tekanan kepada Kai Havertz, satu-satunya penyerang tulen untuk Chelsea dalam usaha meledak gol.

Lukaku juga sudah menjalani latihan bersama Chelsea minggu ini dan dijangka akan diturunkan apabila bertemu Leicester.

Dia sudah menjaringkan empat gol daripada 11 perlawanan sejak kembali ke Chelsea dari Inter Milan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 8:10 AM