HARIMAU Malaya tewas 0-4 kepada Jordan. -FOTO Ihsan FAM
HARIMAU Malaya tewas 0-4 kepada Jordan. -FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad 'pilihan netizen' ternyata kurang menjadi apabila pasukan negara tewas 4-0 bertemu Jordan dalam perlawanan persahabatan di Stadium King Abdullah II, Amman, malam tadi.

Dibarisi muka baharu dengan rata-rata pemain dikatakan menyinar pada saingan Liga Super dan sering menjadi sebutan penyokong bola sepak tanah air namun ternyata banyak lagi perlu belajar terutama membabitkan perlawanan di peringkat antarabangsa.

Malah, kekalahan itu juga menyaksikan banyak 'kerja rumah' perlu dilakukan pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe terutama di bahagian pertahanan dalam usaha membentuk skuad yang mantap bagi menempuh perlawanan akan datang.

Pada pertemuan malam tadi menyaksikan, Jordan yang berada di ranking ke 93 lebih menguasai perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu pasukan negara.

Ternyata kurang persefahaman dan terlalu leka di bahagian pertahanan menyaksikan penyerang Jordan, Ali Olwan mudah menyumbat masuk gol pertama pada minit 34 untuk kedudukan 1-0.

Skuad Jordan tidak perlu menunggu lama untuk terus menjarakkan kedudukan apabila berjaya menyumbat gol kedua selang lapan minit kemudian menerusi kapten pasukan Odai Al-Saify.

Separuh masa kedua pula sepatutnya skuad Harimau Malaya tampil meyakinkan namun sebaliknya berlaku apabila kesilapan Irfan Zakaria yang menanduk bola ke belakang memberi ruang kepada Ali untuk menyumbat gol ketiga pada minit 47.

Ali terus menjadi duri dalam daging buat pasukan negara apabila berjaya mencipta hatrik untuk Jordan mendahului 4-0 .

Melihat skuad Harimau Malaya kurang bermaya terutama di bahagian tengah dan serangan menyaksikan Cheng Hoe membuat tukaran dengan memasukkan Luqman Hakim Shamsuddin, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Kenny Pallraj.

Namun, pertukaran itu tidak banyak mengubah situasi perlawanan apabila tiada sebarang gerakkan berbahaya dapat dilakukan sekali gus kedudukan kekal 4-0 hingga tamat perlawanan.

Skuad Harimau Malaya kini mempunyai satu lagi perlawanan persahabatan pada Sabtu ini menentang pasukan di ranking 84 iaitu Uzbekistan sekali gus berpeluang menebus kehampaan dengan mencipta keputusan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:20 AM