Pemain naturalisasi negara, De Paula (kanan) melakukan tandukan ke arah gawang UAE. FOTO Ihsan FAM
Pemain naturalisasi negara, De Paula (kanan) melakukan tandukan ke arah gawang UAE. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Serba tidak kena apabila gandingan pemain kacukan dan naturalisasi gagal membantu Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata selepas dibelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0 dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi ini.

Jelas sekali skuad kendalian Tan Cheng Hoe masih lagi gagal menyekat kemaraan tuan rumah yang berada di kedudukan 74 dunia itu walaupun dikatakan memiliki barisan pemain terkuat setakat ini.

Namun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara Farizal Marlias apabila menyelamatkan sekurang-kurangnya enam cubaan berbahaya UAE sekali gus mengelak skuad negara tewas dalam jumlah jaringan lebih besar.

Separuh masa pertama menyaksikan Harimau Malaya seolah-olah hilang arah dengan hampir tiada sebarang cubaan merbahaya berjaya dilakukan untuk memburu sebarang gol.

Malah, skuad kendalian Bert Van Marwijk lebih mengawal perlawanan dengan merencanakan serangan berbahaya ke kubu pasukan negara hingga hampir membuka tirai jaringan seawal minit 7 namun berjaya diselamatkan Farizal. Namun, kealpaan benteng pertahanan negara yang ditunjangi Aidl Zaquan akhirnya dihukum pada minit 19 apabila tonggak UAE Ali Mabkhout berjaya menyudahkan hantaran jauh Abdalla Bekheet untuk kedudukan 1-0.

UAE terus menggandakan asakan namun dihampakan dengan penyudah yang kurang kemas sekali gus kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Cheng Hoe melakukan tiga pertukaran pemain dengan memasukkan Luqman Hakim Shamsuddin, Syafiq Ahmad dan Junior Eldstal.

Walaupun pertukaran pemain itu dilihat dapat menyuntik lagi kekuatan bahagian serangan negara namun tidak banyak membantu mencipta sebarang jaringan.

Sebaliknya, pasukan tuan rumah yang menurunkan hanya dua pemain naturalisasi pula berjaya menjarakkan kedudukan menerusi gol kedua pada minit 83 menerusi rembatan cantik Fabio De Lima.

Benteng skuad Harimau terus goyah apabila UAE berjaya menyumbat dua lagi gol pada masa tambahan separuh masa kedua masing-masing menerusi Fabio dan Ali untuk kedudukan kekal 4-0 sehingga wisel penamat ditiup.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:09 AM