Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Piala Malaysia yang merekodkan jutaan tontonan secara atas talian selain pengumuman kemasukan penyokong ke stadium dapat meningkatkan lagi nilai industri bola sepak negara terutama dalam menarik pelabur atau penaja pada masa akan datang.

Situasi terbabit diakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam apabila menyaksikan peminat sukan tanah air akan menggunakan pelbagai cara termasuk Youtube untuk melihat secara langsung perlawanan pasukan kegemaran masing-masing.

Beliau berkata, jumlah penonton yang begitu tinggi pada perlawanan awal saingan Piala Malaysia memberi 'signal' bahawa saingan bola sepak di negara ini tidaklah sendu atau kurang sambutan walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, situasi berkenaan turut membantu industri bola sepak tanah air termasuk pasukan Liga Malaysia dalam usaha menambah keyakinan pelabur dan penaja pada masa akan datang.

"Sudah tentu akan menambah keyakinan para pelabur dan penaja untuk terus memberi sokongan kepada industri bola sepak tanah air.

"Walaupun negara kita dilanda pandemik Covid-19 namun tidak bermakna perlawanan bola sepak tidak mendapat perhatian daripada peminat sukan tanah air," katanya.

Selain itu, Stuart berkata, kemasukan penyokong ke stadium pada penghujung Oktober menghidupkan kembali venue berkenaan yang sebelum ini sepi tanpa sebarang sorakan.

"Kapasiti penyokong yang dibenarkan ke stadium adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang kesesakan dan penularan Covid-19.

"Kami tidak boleh terus membenarkan penyokong memasuki stadium ketika ini kerana perlu meminta pihak berkaitan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di setiap stadium membabitkan perlawanan Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 9:54 PM