Pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali sasar kejuaraan Liga Perdana musim ini. FOTO Malik Muhamad
Pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali sasar kejuaraan Liga Perdana musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Misi Terengganu FC II (TFC II) untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana musim ini tetap menyala walaupun kini menghuni di tangga ketiga liga.

Malah dengan berbaki empat perlawanan lagi, peluang buat skuad The Turtles kendalian Badrul Afzan Razali masih terbuka luas untuk mencabar kejuaraan liga.

Menurut jurulatih kelahiran Kemaman itu, dengan kembalinya 'ayam tambatannya' Dechi Marcel ke pangkuan skuad itu selepas dipinjamkan kepada skuad 'abang', Terengganu FC (TFC) bakal memantapkan lagi jentera tengah pasukan yang dibarisi majoriti pemain muda berbakat.

"Misi kita tetap sama untuk memburu kejuaraan liga musim ini biarpun laluan dilihat berliku lebih-lebih lagi semua aksi di tempat lawan selain menghuni di tangga ketiga liga dengan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Sarawak United yang mengutip 34 mata manakala Negeri Sembilan 32 mata daripada 16 perlawanan.

"Justeru kami menyasarkan kutipan mata penuh berbaki empat perlawanan lagi, kehadiran semula Marcel pasti menambah sengat pasukan selain pemain kini berada pada tahap prestasi terbaik.

"Tambahan pula penjaring terbanyak pasukan, Jordan Mintah juga sudah sembuh daripada kecederaan siku yang dialami ketika menentang Sarawak United sebelum ini, ini pasti melegakan kem pasukan," katanya.

Selain bakal bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) Ahad depan, skuad itu akan menentang Selangor FC II, Kelantan United FC dan terakhir Kuching City FC (KCFC) dengan semua perlawanan berlangsung di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 10:07 PM