PENGENDALI TFC 11, Badrul Afzan Razali. FOTO MALIK MUHAMAD
PENGENDALI TFC 11, Badrul Afzan Razali. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali tekad membantu skuad The Turtles itu mengakhiri saingan Liga Perdana musim ini sekurang-kurangnya di kedudukan ketiga liga.

Pengendali berusia 46 tahun itu berkata, beliau mahu memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang disasarkan menjadi kenyataan walaupun masih berbaki dua perlawanan.

Katanya, jika pasukannya berjaya mendapat kedudukan lebih baik, ia bakal menjadi sejarah lebih-lebih lagi Liga Perdana bakal 'berkubur' musim depan.

Bekas arkitek Terengganu itu yang kini mengambil lesen kejurulatihan Pro A berhasrat mahu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu diserapkan dalam mana-mana pasukan Liga Super musim depan.

"Kami ada lagi baki dua perlawanan Liga Perdana iaitu menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di tempat lawan pada 4 September depan dan terakhir pasukan Projek FAM-MSN di laman sendiri pada 17 September.

"Aksi menentang JDT II agak sukar lebih-lebih lagi pasukan itu berada di dua kelompok teratas liga, jadi sudah pasti semangat mereka berbeza.

"Bagaimanapun memandangkan Liga Perdana bakal dimansuhkan musim depan, impian saya sekurang-kurangnya membantu pasukan menamatkan saingan di tempat ketiga, jika dapat lebih daripada itu, ia bonus buat pasukan," katanya.

Ketika ini skuad The Turtles yang juga pasukan 'feeder club' Terengganu FC (TFC) menghuni di tangga ketiga liga dengan mengumpul 30 mata hasil 16 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 4:12 PM