Pemain TFC II menjalani latihan menjelang aksi berdepan Selangor FC II malam esok. FOTO TFC
Pemain TFC II menjalani latihan menjelang aksi berdepan Selangor FC II malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tanpa pertahanan import, Argzim Redzovic, Terengganu FC II (TFC II) bakal berdepan tugas getir dalam misi untuk mengutip tiga mata bertemu Selangor FC II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Ini diakui ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali yang meletakkan harapan tinggi kepada barisan pemainnya agar tidak leka sepanjang 90 minit perlawanan bagi memastikan misi wajib menang tercapai.

"Kita terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan, Redzovic yang akan membantu pasukan Terengganu FC (TFC) pada aksi penting menentang Penang FC Ahad ini.

"Saya jangkakan tugas sukar buat pemain kami berdepan skuad itu, namun misi kita tetap sama iaitu mengutip tiga mata bagi mengintai sekurang-kurangnya kedudukan kedua liga."Saya harapkan barisan pemain yang diturunkan nanti terutama bagi posisi yang ditinggalkan Redzovic agar dapat beraksi dengan baik selain peluang buat pemain berkenaan untuk membuktikan kemampuan di jentera pertahanan," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.Ketika ditanya mengenai perkembangan tiga lagi tonggak import iaitu penyerang, Jordan Mintah, pemain tengah, Dechi Marcel dan Masaki Watanabe, Badrul akui pemain berkenaan berada pada tahap terbaik."Kita percaya tiga tonggak import itu mampu menghadirkan impak yang positif buat pasukan selain pemain tempatan yang kian meningkat naik prestasi mereka," katanya.Skuad The Turtles kini menghuni di tangga keempat Liga Perdana dengan mengutip 29 mata berbaki tiga perlawanan lagi termasuk menentang Selangor FC 2, Kuching City FC pada 17 September dan aksi terakhir bertemu Kelantan United FC pada 21 September.Jika menang semua tiga perlawanan, peluang buat skuad itu untuk mengulangi pencapaian musim lalu menamatkan liga di kedudukan kedua cerah walaupun tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super kerana status 'feeder club'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:50 PM