PENGENDALI TFC II, Badrul Afzan berang dengan prestasi penyerangnya. FOTO MALIK MUHAMAD
PENGENDALI TFC II, Badrul Afzan berang dengan prestasi penyerangnya. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketumpulan penyudah dalam kalangan penyerang tempatan masih menghantui pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali selepas pasukannya gagal mengutip mata penuh dalam dua aksi terakhir Liga Perdana.

Malah pengendali berusia 45 tahun itu resah jika penyerang importnya yang juga penjaring terbanyak setakat ini, Jordan Mintah tidak dapat diturunkan bertemu Kuching City FC Selasa ini di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.

"Masalah penyudah tumpul memang begitu ketara, penyerang tempatan kita sukar untuk menjaringkan gol walaupun berpeluang, kita dapat lihat pada dua aksi terakhir ketika tewas 1-2 kepada PDRM FC dan terikat tanpa jaringan menentang Perak FC II malam tadi.

"Pemain sepatutnya lebih yakin apabila memperoleh peluang selain bersedia dengan mempamerkan karakter sebagai penyerang, tapi mereka belum menemui sentuhan lagi, saya begitu kecewa lebih-lebih lagi berbaki empat perlawanan dengan impian kita untuk memburu kejuaraan liga.

"Kami harapkan penyerang tempatan yang diturunkan dalam baki perlawanan mampu bangkit membuktikan kemampuan mereka," kata Badrul ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad The Turtles tidak bernasib baik untuk melakar kemenangan selepas sepakan penalti yang diambil penyerang, Muhamad Izzan Syahmi Mustapa pada babak kedua gagal menghasilkan jaringan selepas mudah ditampan penjaga gol lawan.

Bagaimanapun keputusan seri itu sudah memadai buat skuad pembangunan itu merampas kedudukan teratas liga walaupun berkongsi 29 mata dengan Negeri Sembilan di kedudukan kedua.

Sementara itu ketua jurulatih Perak FC II, Syamsul Saad menghamburkan pujian kepada anak buahnya selepas impiannya untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di tempat lawan tercapai.

Malah beliau akui gembira dengan prestasi dan komitmen ditunjukkan pemain mudanya yang kian memperagakan aksi terbaik walaupun pasukannya dihimpit dengan beberapa masalah.

"Saya berpuas hati kerana pemain berjaya bertahan dengan baik walaupun berdepan pasukan seperti TFC ll yang ketika ini sudah kembali menduduki tangga teratas liga.

"Kita juga sebenarnya agak bernasib baik kerana Mintah tak bermain pada malam ini, jika tidak akan menjadikan permainan lebih sukar bagi kita, jadi dengan baki empat perlawanan lagi pemain muda perlu membuktikan kemampuan mereka untuk mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam liga," katanya yang menyifatkan kedudukan terkini di tangga kesembilan Liga Perdana masih boleh diperbaiki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:46 PM