KHALID meminta agar dihentikan memetik namanya sebagai jurulatih Perak FC dan mengakui terdapat ramai lagi jurulatih berkaliber. FOTO NSTP
KHALID meminta agar dihentikan memetik namanya sebagai jurulatih Perak FC dan mengakui terdapat ramai lagi jurulatih berkaliber. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Prestasi buruk pasukan Perak FC dalam saingan Liga Super musim ini cukup mengecewakan penyokong setia negeri itu yang mahu kedudukan jurulatih pasukan, Chong Yee Fatt dikaji semula.

Lantas, timbul cadangan daripada peminat di media sosial yang memetik nama bekas penyerang prolifik Harimau Malaya dan Perak, Khalid Jamlus diberi peluang menggantikan tempat Yee Fatt.

Bagaimanapun, Khalid yang juga bekas pemenang kasut emas Liga Malaysia musim 2002 itu menegaskan dirinya bukanlah pilihan terbaik untuk memimpin skuad The Bos Gaurus itu ketika ini.

Menerusi luahan di laman sosialnya, Khalid meminta agar dihentikan memetik namanya sebagai jurulatih Perak FC dan mengakui terdapat ramai lagi jurulatih berkaliber yang mampu mengubah nasib pasukan apabila kini menghuni dua tangga tercorot dan kemungkinan boleh jatuh ke Liga Perdana musim depan.

"Tak yah petik nama aku (Khalid Jamlus). Aku tak layak jadi jurulatih Perak. Bersepah kat Perak tengah tunggu je digantikan.

"Betul kalau bagus jadi pemain belum tentu bagus jadi jurulatih. Sebab pengalaman aku kurang (sebagai jurulatih)...hanya dengan (pasukan) Sime Darby dan PDRM je," tulisnya.

Begitupun katanya, dia tidak menutup terus pintu untuk bergelar jurulatih dengan mana-mana pasukan di masa depan.

"Dan tidak semestinya saya tidak boleh menjadi ketua jurulatih yang baik. Kalau tak bagi peluang kepada saya, macam mana saya nak belajar. Anda semua takut sangat untuk berikan peluang kepada saya kenapa?" kata Khalid.

Sebelum ini, Khalid menggemparkan negara apabila membuat keputusan menjual trofi kasut emasnya susulan kesempitan hidup dialami ekoran tidak bekerja.

Akhirnya trofi berkenaan dibeli oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hujung tahun lalu pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Khalid kemudiannya mengusahakan perniagaan kedai makan namun terpaksa ditutup pada bulan lalu disebabkan ketiadaan pelanggan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negeri Selangor sejak dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:05 PM