Khalid berkongsi gambar banner yang didakwa ditoreh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Khalid berkongsi gambar banner yang didakwa ditoreh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sambutan Ramadan tahun ini memberi 1000 dugaan buat bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus apabila banner mempromosikan makanannya ditoreh dengan pisau oleh pihak tidak dikenali.

Jelas Khalid, dia tidak menyangka ada pihak yang sanggup berbuat demikian dan mengakui kecewa dengan tindakan bertanggungjawab itu.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, dia menunjukkan kesan toreh pada banner itu yang baru digantung beberapa hari lalu bagi tujuan mempromosikan perniagaannya pada bulan Ramadan kali ini.

"Tak tahulah betul ke tak ada orang aniaya ini, ada bekas toreh pisau... pisau tumpul rasanya. Kat sini pun ada juga, Allahuakhbar.

"Baru ja pasang, dua tiga hari lepas. Tak tahulah nak tuduh ke atau apa, tapi anda semua pun boleh fikirkan benda ini. Nampak ada bekas pisau atau macam manakan," katanya.

Ketika ini, bekas pemain Perak, Selangor dan Kelantan itu mengambil inisiatif mengusahakan gerai makan yang menyajikan masakan daging salai masak lemak.

Walaupun mempunyai beberapa tawaran sebagai jurulatih, dia memilih untuk beraksi 'di dapur' dan membuka gerai di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Ogos lalu.

Sebelum ini, Khalid menarik perhatian ramai apabila terpaksa melepaskan koleksi kesayangannya sepanjang mengecapi gemilang karier sebagai pemain termasuk trofi Kasut Emas yang dimenanginya pada 2002 demi kelangsungan hidup.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas Khalid pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan penyerahannya diadakan dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang pada September lalu.

Kasut emas dimiliki Khalid itu diraihnya selepas meledak 17 gol ketika bersama Perak dalam saingan Liga Perdana pada musim 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:12 PM