Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN Perak akan mencari inisiatif bagi membantu nasib bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus susulan pemain legenda itu dikhabarkan menjual kasut emas yang dimenanginya ketika Perak juara Liga Perdana 1 pada musim 2002 menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau baharu sahaja bertemu dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Saya berasa susah hati juga mendengar ada di kalangan bekas pemain kita yang banyak berjasa kepada negeri sehingga terpaksa menjual barangan yang mempunyai 'sentimental value' kerana tekanan hidup.

"Saya masih tidak dapat berjumpa dengan dia (Khalid Jamlus) lagi, semalam saya baru sahaja berbincang dengan beberapa rakannya untuk mencari jalan bagaimana kami boleh membantu beliau untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik tanpa perlu menjual kasut emas dan sebagainya," katanya selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Maahad Tahfiz Al Quran Negeri Perak (Pematap) di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.

Ahmad Faizal selaku Presiden Pafa berkata, beliau sangat bersimpati dengan Khalid dan pada masa sama Pafa juga sentiasa menitik berat kebajikan bekas pemain yang lain yang terkesan dengan Covid-19.

Khalid (kanan) pernah memenangi Anugerah Kasut Emas.
Khalid (kanan) pernah memenangi Anugerah Kasut Emas.

"Saya kira tentu ramai lagi bekas pemain yang sebenarnya terkesan dengan keadaan hidup pasca Covid-19 ini, malahan sebelum ini juga ramai bekas pemain kita yang mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadap kerjaya selepas berkecimpung dalam kerjaya yang sudah biasa bermain hampir mungkin 20 tahun.

"Itulah sebabnya kerajaan memperkenalkan program 'upskilling, TVET dan sebagainya, ini menjadi peringatan kepada semua pemain yang ada sekarang ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menjual kasut emas yang dimenanginya 18 tahun lalu dengan harga RM10,500 menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya.

Selain Kasut Emas, Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya.

Khalid pernah beraksi bersama Selangor dan Kelantan bagaimanapun menjelaskan dia terpaksa berbuat demikian atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan.

Khalid Jamlus merangkul anugerah kasut emas selepas meledak 17 gol yang turut berjaya membantu Perak muncul juara Liga Perdana 1 pada musim 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:43 PM