KHALID berkongsi perbualan bersama Wan Ahmad selepas dia bertindak menjual koleksi peribadi termasuk trofi kasut emas. FOTO Khalid Jamlus
KHALID berkongsi perbualan bersama Wan Ahmad selepas dia bertindak menjual koleksi peribadi termasuk trofi kasut emas. FOTO Khalid Jamlus
Firdaus Hashim


TERDESAK atas kesempitan hidup selepas tiga tahun tidak bekerja menyaksikan bekas penyerang Harimau Malaya, Khalid Jamlus terpaksa melepaskan pelbagai koleksi berharganya sepanjang bergelar pemain profesional.

Selain jersi dan medal kemenangan, bekas pemain Perak dan Selangor itu menjual trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 ketika membantu skuad Kejor Yob Kejor itu menjuarai saingan Liga Perdana (sekarang dikenali Liga Super) waktu itu.

Menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya, kelmarin menyaksikan kasut emas berkenaan dijual pada harga RM10,500.

Difahamkan, tindakan Khalid 'melepaskan' barangan yang dianggap mempunyai nilai sentimental tinggi itu atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan meskipun memiliki lesen kejurulatihan B.

Kali terakhir beliau memimpin pasukan dalam saingan Liga Malaysia adalah sebagai penolong jurulatih PDRM FA tiga tahun lalu dengan memiliki lesen kelas B.

Sementara itu, tindakan melelong barangan itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menerusi perbualan WhatsApp yang dimuat naik Khalid di Facebook miliknya, Wan Ahmad Fayhsal menjemputnya ke pejabat untuk mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh bekas pemain itu.

"Insya-Allah mungkin ada sinar," kata Khalid bersama gambar perbualan berkenaan.

Untuk rekod, Khalid merangkul anugerah kasut emas selepas meledak 17 gol pada musim 2002 sekali gus meletakkan dirinya antara penyerang berbakat yang pernah dilahirkan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 11:13 AM