DE Paula turut gagal menyerlah ketika menentang UAE. FOTO FAM
DE Paula turut gagal menyerlah ketika menentang UAE. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kem negara digesa mempertaruhkan khidmat tenaga tempatan menjelang aksi penting berdepan Vietnam pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Sabtu ini.

Bekas pemain Harimau Malaya, Serbegeth Singh atau lebih mesra dipanggil Shebby berkata, berdasarkan prestasi pasukan ketika tumbang 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tempoh hari, beliau mahu Liridon Krasniqi direhatkan bagi menghidupkan kembali bahagian tengah pasukan.

"Saya berpendapat tempat Liridon baik diberikan kepada Syafiq Ahmad yang begitu efektif ketika masuk sebagai pemain gantian menentang UAE.

"Pada saya ada baiknya pasukan dirombak dengan pemain tempatan dan pemain kacukan diberi lebih peluang mengisi kesebelasan utama.

"Jangan nak kata pemain kita tak ada pengalaman kerana tanpa diberi peluang sampai bila pun mereka takkan dapat pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, skuad negara dikecam hebat susulan kegagalan mengutip sebarang mata selepas tewas dengan UAE.

Paling mengecewakan peminat adalah aksi longlai dua tonggak naturalisasi negara iaitu Liridon dan Guilherme de Paula yang dilihat gagal memainkan peranan diharapkan di atas padang.

Malah, De Paula sendiri turut dilabel pemalas kerana dilihat lebih banyak berjalan dan memerhatikan bola tanpa mahu mencabar pertahanan UAE seperti mana yang dilakukan Syafiq.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:54 PM