LIRIDON (kiri) dikatakan tak memahami taktikal disiplin bertahan dan sering meninggalkan peranannya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
LIRIDON (kiri) dikatakan tak memahami taktikal disiplin bertahan dan sering meninggalkan peranannya. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Rombakan besar-besaran wajib dilakukan pengendali negara, Tan Cheng Hoe khususnya ke atas pemain naturalisasi menjelang aksi ketujuh Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai, 11 Jun ini.

Gesaan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih kenali dengan panggilan Shebby yang menyifatkan aksi dua tonggak naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula ketika tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi cukup teruk.

Jelasnya, kedua-dua pemain berkenaan tidak mencapai tahap antarabangsa yang diharapkan malah dalam aksi yang berlangsung di Stadium Zabeel, Dubai itu menyaksikan seolah Harimau Malaya hanya bermain dengan sembilan pemain di atas padang.

"Masalah besar kita ialah bahagian tengah di mana Liridon tak memahami taktikal disiplin bertahan dan sering meninggalkan peranannya di bahagian itu. Dia seolah macam tak tahu fungsi, berlari kesemua tempat hingga di kawasan tengah kosong dan bagi ruang cukup luas buat pemain UAE.

"De Paula pula macam tak ada langsung atas padang dan paling tak faham boleh pula dia main 90 minit penuh. Adakah jurulatih kita tak nampak? Saya cukup pelik dan hairan dengan jurulatih kerana kedua-duanya memang 'zero' atas padang.

"Selain itu yang ketiga, strategi dan taktikal jurulatih pun berterabur. Bagi saya jurulatih kena buat rombakan kepada pasukan dan sudah tiba masanya beri kepercayaan kepada pemain tempatan untuk memulakan permainan," katanya kepada Arena Metro.

Pada aksi itu, skuad negara yang diperkuatkan tiga pemain naturalisasi serta tiga tonggak warisan masih gagal memberi tentangan apabila tewas 0-4 menerusi dua jaringan Ali Makhbout dan dua lagi oleh penyerang naturalisasi dari Brazil, Fabio Lima.

Bagaimanapun di sebalik keputusan memalukan itu, Shebby memberi pujian buat dua tonggak negara iaitu penjaga gol, Farizal Marlias dan pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools yang banyak menyelamatkan kubu negara.

"Farizal memang bermain cukup bagus sekali apabila dia banyak menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya penyerang UAE. Kalau tak ada Farizal, saya ingat kita boleh kalah sampai 10-0 macam dulu.

"Cools pula bagi saya memang seorang pemain kelas dunia. Dia memang bagus nampak dia memang di tahap yang lain dan berbeza, tenang dan hantarannya pun bagus. Dia juga hampir nak jaringkan gol minit akhir.

"Cuma keserasian dengan pemain pertahanan lain masih tak nampak sebab itu kita dibolosi dua gol yang berpunca dari pemain lain yang tak jaga garisan ofsaid," katanya.

Skuad negara akan meneruskan kempen menentang Vietnam pada 11 Jun ini sebelum menutup aksi kelayakan dengan turun bertemu Thailand pada 15 Jun di Stadium Al Maktoum dan Stadium Zabeel, Dubai.

Hasil kekalahan itu, kedudukan skuad Harimau Malaya dalam kumpulan jatuh ke tangga keempat selepas dipintas UAE dan Thailand yang turut memungut mata sama iaitu sembilan mata namun dibezakan menerusi perbezaan jumlah gol, manakala Vietnam (11 mata) di posisi pertama sementara Indonesia tangga kelima (satu mata).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 5:58 PM