FOTO fail menunjukkan helikopter AeroGulf. FOTO Cyprus Mail
FOTO fail menunjukkan helikopter AeroGulf. FOTO Cyprus Mail
AFP

Dubai: Seorang juruterbang terbunuh, manakala rakan setugasnya hilang selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika melakukan penerbangan latihan pada malam, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Helikopter Bell 212 itu terhempas di negara Teluk itu kira-kira 8.30 malam waktu tempatan pada Khamis selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, Dubai, kata pihak berkuasa penerbangan UAE, yang dipetik oleh agensi berita rasmi WAM.

Pihak berkuasa berkata, seorang anak kapal ditemukan meninggal dunia, manakala operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk mencari seorang lagi juruterbang.

"Mereka (mangsa) terhempas di luar pantai Umm al-Quwain semasa penerbangan latihan", tambahnya.

Difahamkan, juruterbang warga Mesir dan Afrika Selatan itu menjalani penerbangan latihan untuk AeroGulf, pengendali helikopter komersial terkemuka UAE.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menyatakan nama juruterbang yang ditemukan meninggal dunia itu.

"Proses mendapatkan semula serpihan (helikopter) sedang dijalankan," kata pihak berkuasa.

AeroGulf diasaskan pada 1976 untuk menyediakan perkhidmatan kepada industri minyak dan gas, sebelum mengembangkan perkhidmatannya kepada sektor lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 10:34 AM