Sancho turut dipanggil membarisi skuad kebangsaan England. FOTO Agensi
Sancho turut dipanggil membarisi skuad kebangsaan England. FOTO Agensi
AFP

London: Pep Guardiola menegaskan bahawa dia tidak menyesal dengan keputusan Jadon Sancho mahu meninggalkan Manchester City untuk bersama Borussia Dortmund.

Sancho dilahirkan daripada sistem akademi remaja City kini menjadi antara bintang muda paling menyinar di Eropah.

Namun dia memilih untuk meninggalkan kelab Liga Perdana itu untuk bersama Dortmund pada 2017 kerana bimbang City yang mempunyai ramai pemain berkelas dunia itu akan menyebabkan dia akan kurang bermain.

Pemain berusia 20 tahun itu kini menjadi nadi penggerak kepada Dortmund, selain turut dipilih bersama skuad England.

Kini Sancho akan kembali bertemu Guardiola selepas pendahulu Liga Perdana itu City diundi menentang kelab Bundesliga dalam suku akhir Liga Juara-Juara.

Ditanya adakah beliau kecewa Sancho menolak kontrak ketika berusia 17 tahun, bos City itu, Guardiola menjejaskan bahawa dia gembira melihat pemain muda itu berjaya selepas keluar dari Etihad Stadium.

"Banyak kali sudah saya katakan, saya tidak menyesal. Dia sudah membuat keputusan. Dia beraksi dengan sangat baik. Tahniah, dia seorang pemain yang menakjubkan," kata Guardiola.

"Dia pemain skuad kebangsaan yang memiliki kualiti besar, bermain baik dengan Dortmund. Kami mahu dia kekal tetapi dia mengambil keputusan untuk berhijrah, dan ketika orang sudah membuat keputusan, apa yang kami boleh lakukan ialah membiarkan dia berhijrah.

"Saya ucapkan yang terbaik buatnya, kecuali ketika bermain menentang kami. Tidak pernah menyesal. Jika dia gembira, saya gembira."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 10:02 AM