AKSI Sancho ketika menjalani sesi latihan di Dortmund, semalam. FOTO Agensi
AKSI Sancho ketika menjalani sesi latihan di Dortmund, semalam. FOTO Agensi
Agensi

MANCHESTER United sedia memuaskan hati Borussia Dortmund yang menetapkan yuran perpindahan Jadon Sancho sebanyak £108 juta (RM595.16 juta) tetapi dengan tiga kali bayaran, menurut laporan hari ini.

Red Devils tampak enggan bertangguh lagi untuk mendapatkan superstar England itu dengan sedia membayar wang pendahuluan £63 juta (RM343.33 juta).

United seperti kelab gergasi Eropah lain yang kewangan terjejas angkara pandemik koronavirus akan membayar £27 juta (RM148.87 juta) lagi disusuli bayaran akhir £18 juta (RM99.25 juta).

Dortmund pula sedia menerima tawaran itu selepas mereka tidak kisah mendapat jumlah harga diminta walaupun menerusi beberapa siri pembayaran.

Ia sekali gus mendatangkan keuntungan sebanyak £7 juta (RM38.59 juta) berbanding ketika Dortmund mendapatkan pemain itu daripada Manchester City pada 2017.

Bagaimanapun, Dortmund hanya memberikan United tempoh sehingga 10 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian.

Kelab Bundesliga itu memulakan sesi latihan pra musim pada tarikh itu dan memberi amaran kepada skuad Ole Gunnar Solskjaer supaya melupakan sebarang perjanjian berpotensi jika persiapan mereka untuk menghadapi musim baharu sudah bermula.

Ketua Dortmund, Michael Zorc berkata: "Tiada ruang untuk rundingan, hanya harga 120 juta euro (RM595.407 juta) yang boleh diterima.

"Kem latihan Dortmund di Bad Ragaz, Switzerland bermula 10 Ogos dan tiada lagi jualan selepas tarikh itu."

Solskjaer terdesak mendapatkan penyerang berkaliber untuk digandingkan bersama Marcus Rashford, Anthony Martial dan Bruno Fernandes.

Difahamkan Sancho mahu pulang ke England dan bersetuju dengan beberapa terma peribadi bersama United.

Wartawan, Ian McGarry berkata: "Sancho bersetuju secara prinsipal beberapa minggu lalu dengan kontrak lima tahun bersama Manchester United dengan gaji permulaan £140,000 (RM771,480) seminggu yang boleh meningkat kepada £200,000 (RM1.102 juta) seminggu.

"Ejen pemain itu, Emeka Obasi baru-baru ini sibuk menguruskan beberapa perpindahan lain termasuk kontrak baharu [Bukayo] Saka di Arsenal.

"Tetapi dia masih berharap United bersetuju dengan yuran diminta Borussia Dortmund. "

Sancho begitu menyerlah musim ini dengan 17 jaringan dan 16 bantuan gol dalam 32 penampilan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 11:35 PM