SANCHO jadi rebutan beberapa kelab gergasi. FOTO AFP
SANCHO jadi rebutan beberapa kelab gergasi. FOTO AFP
Agensi

MANCHESTER United percaya mendahului saingan untuk mendapatkan bintang England, Jadon Sancho.

Red Devils sedang berusaha untuk memperkukuhkan skuad dengan cuba mendapatkan tandatangan pemain berusia 20 tahun itu dari kelab Bundesliga, Borussia Dortmund.

Difahamkan Sancho dan United masing-masing sudah hampir mencapai persetujuan dalam usaha membawanya ke Old Trafford.

Difahamkan juga Sancho sudah bersetuju dengan kontrak, gaji, bonus dan klausa perpindahan dengan United perlu membayar yuran perpindahan kepada Dortmund.

Nilai Sancho sekitar £100 juta (RM545 juta) dan dia dijangka akan meninggalkan Dortmund selepas hujung musim berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.

Sancho mengharungi musim yang cemerlang apabila meledak 17 gol dan menjadi arkitek kepada 19 jaringan untuk Dortmund pada saingan Bundesliga dan Liga Juara-Juara sekali gus menjadikannya pemain paling laris di pasaran Eropah.

Bukan United sahaja yang dikaitkan dengan pemain berbakat itu, namun Chelsea dan Real Madrid juga mahu mendapatkan pemain sayap itu.

Sancho menyertai Dortmund pada usia 17 tahun selepas tidak mendapat tempat tempat di bawah bimbingan Pep Guardiola di Manchester City.

Perpindahannya ke Bundesliga menghidupkan semula karier cemerlangnya dan selepas tiga tahun di perantauan, Sancho dilaporkan bersedia untuk kembali semula ke England.

Dortmund mahu mengekalkan Sancho di mana kontraknya sehingga 2022, namun pemain itu sendiri menyatakan mahu meninggalkan kelab.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke bulan lalu berkata: “Malah sebelum pandemik Covid-19, kami mahu Jadon kekal bersama kelab.

“Bagaimanapun pada akhirnya anda perlu menghormati apa yang dimahukan oleh pemain itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 7:39 AM