Ahmad Samsuri (berdiri tengah) menyaksikan MoU antara TFC Sdn Bhd dengan UniSZA di Wisma Darul Iman. FOTO Malik Muhamad
Ahmad Samsuri (berdiri tengah) menyaksikan MoU antara TFC Sdn Bhd dengan UniSZA di Wisma Darul Iman. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd terus mengorak langkah dalam memperkasakan lagi pasukan apabila bakal mendapat sentuhan kepakaran daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) hari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha sama selama tujuh tahun itu membabitkan 10 bidang utama.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia meliputi bidang kejuruteraan, perubatan, saintis sukan, pemasaran dan bidang psikologi.

"Selain itu usaha sama ini juga merangkumi bidang pendidikan, nutrisi, fisioterapi, penjanaan pendapatan dan juga analisis pencapaian.

"Bagi pihak UniSZA pula TFC Sdn Bhd telah bersetuju akan membuka ruang dan menyediakan peluang kepada pelajar dalam bidang berkaitan untuk melakukan latihan industri bawah penyeliaan TFC Sdn Bhd.

"Dengan wujudnya usaha sama ini, program pembangunan dan pengkomersialan sukan bola sepak di UniSZA akan turut dibantu oleh TFC Sdn Bhd dan situasi ini sudah tentu dinantikan penuntut untuk mengalami sendiri bagaimana cara organisasi swasta berkaitan bola sepak berfungsi.

"Ini adalah situasi menang-menang dan kita berharap kedua-dua pihak mendapat manfaat untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang sukan, khususnya bola sepak," katanya selepas menyaksikan majlis MoU antara kedua-dua pihak di Wisma Darul Iman.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Mat Dahan berkata, menerusi MoU ini UniSZA sedia membantu TFC melaksanakan pelan strategik ke arah menjadi sebuah kelab bola sepak yang berjaya.

"Usaha sama ini membuktikan komitmen kedua-dua belah pihak dalam mengukuhkan lagi sukan nombor satu negara itu.

"Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Pengurusan Perniagaan akan memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran usaha sama itu dan UniSZA akan berkongsi pangkalan data untuk mereka meningkatkan prestasi pemain serta pihak pengurusan selain perkongsian kepakaran.

"Lagipun UniSZA tidak asing lagi dalam bidang sukan kerana sudah menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sejak 2016 lagi," katanya.

Menerusi kerjasama itu TFC Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh manakala UniSZA diwakili Dr Hassan Basri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 5:50 PM