Dr Ahmad Samsuri (dua kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara TFC Sdn Bhd dengan UniSZA. FOTO Malik Muhamad
Dr Ahmad Samsuri (dua kiri) menyaksikan pertukaran MoU antara TFC Sdn Bhd dengan UniSZA. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bakal mempunyai pemain yang mempunyai kelayakan akademik bertaraf Diploma ataupun Sarjana Muda selepas mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persatuan menyokong penuh jika ada pemain bola sepak negeri daripada pasukan TFC, TFC II, TFC III Dan TFC IV yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Sarjana.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut berterima kasih kepada UniSZA yang sedia memberi peluang kepada pemain dan atlet Terengganu untuk meningkatkan lagi ilmu dalam bidang akademik selain sukan yang diceburi.

"Sudah tentu jika diberi peluang dan ruang kepada pemain dan mereka berkemampuan, kita (PBSNT) sangat mengalukan sekiranya mereka berhajat untuk meningkatkan pencapaian akademik masing-masing.

"Sebab pada kita untuk terbang bebas di angkasa perlu mempunyai bukan sekadar kepak sahaja tetapi perlu hal-hal lain, jadi kita akan menyokong sekiranya ada kemudahan di UniSZA," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dengan UniSZA di Wisma Darul Iman, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Hassan Basri Mat Dahan berkata, pihak universiti bersedia memberikan laluan khas kepada atlet dan pemain yang berkelayakan untuk menyambung pendidikan di universiti itu.

"Kita akan beri laluan khas kemasukan mereka ke UniSZA. Setakat ini kita sudah ada tujuh pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan.

"Lagipun kita sangat beruntung kerana di Terengganu ramai atlet berbakat, malah Majlis Sukan Negara (MSN) pun memang bagi apresiasi kepada Terengganu dan UniSZA yang mana kita ada Pusat Kecemerlangan Sukan yang juga lakukan penyelidikan," katanya.

Idea usaha sama cetusan Dr Ahmad Samsuri itu adalah dalam proses untuk meningkatkan kualiti daripada sudut teknikal, pengurusan dan nilai komersial kelab ke peringkat yang lebih tinggi selari dengan pelan tindakan yang telah dirancang bersesuaian dengan penswastaan pasukan.

Kerjasama selama tujuh tahun itu membabitkan kepakaran dalam sepuluh bidang utama iaitu saintis sukan, perubatan, kejuruteraan, pemasaran, penjanaan pendapatan, psikologi, fisioterapi, nutrisi, analisis pencapaian dan juga bidang pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 9:15 PM