Muslihuddin Atiq (tengah) tidak berada dalam radar JDT. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Muslihuddin Atiq (tengah) tidak berada dalam radar JDT. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Sama ada ingin mengejar populariti atau sekadar 'syok sendiri' apabila cuba mengaitkan Kelab Bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung pasukan itu dikaitkan mahu memancing pemain Terengganu FC II (TFC II), Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

Menerusi kenyataan oleh Pengarah Teknikal, Allistair Edwards di laman rasmi Johor Southern Tigers mengesahkan tiada sebarang tawaran dibuat oleh JDT bagi mendapatkan khidmat pemain sayap TFC II itu.

"JDT ingin menjelaskan bahawa tiada tawaran dibuat kepada pemain TFC II, Muslihuddin Atiq (Mat Zaid).

"Sebaliknya JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani pemain tempatan tapi pemain itu bukanlah Muslihuddin Atiq seperti yang digembar-gemburkan.

"Kami terkejut dengan berita mengenai tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq.

"Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran itu kerana tiada kakitangan teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Pengarah Sukan, Martin Prest, membuat tawaran kepada pemain berkenaan," katanya Edwards dalam kenyataan itu.

Baru-baru ini perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan Terengganmu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang memaklumkan pemain berusia 21 tahun itu kini sedang dirisik skuad Harimau Selatan.

Beliau berkata, perbincangan lanjut kini masih diteruskan antara kedua-dua kelab berkenaan selain keluarga serta pemain itu sendiri sebelum keputusan muktamad dibuat kerana pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sehingga November ini.

Namun dengan pengesahan daripada pihak JDT ibarat terang lagi bersuluh betapa kenyataan itu sekadar mahu meraih populariti sekali gus akan meningkat lagi 'saham' Muslihuddin Atiq seandai mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 12:40 PM