PBSNT sedia untuk kembali ke meja rundingan bersama Sporting Lisbon sekiranya keadaan mengizinkan. FOTO Agensi
PBSNT sedia untuk kembali ke meja rundingan bersama Sporting Lisbon sekiranya keadaan mengizinkan. FOTO Agensi
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bagi memperkasakan lagi sukan bola sepak negeri, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengintai kerjasama dengan kelab gergasi Portugal, Sporting Lisbon.

Hasrat itu dimaklumkan Timbalan Presiden I PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim yang mendedahkan sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan yang juga juara Liga Portugal sebanyak 18 kali.

Bagaimanapun disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, perbincangan lanjut tidak dapat diteruskan kerana perlu melihat perkembangan semasa wabak itu terlebih dahulu.

"Sebenarnya sebelum ini kita sudah ada perbincangan dengan sebuah kelab Portugal iaitu Sporting Lisbon di Kuala Lumpur dan kedua-dua pasukan sedia untuk bekerjasama dalam beberapa aspek, tapi disebabkan perkembangan wabak pandemik Covid-19, perbincangan lanjut tidak dapat diteruskan.

"Namun begitu PBSNT sedia untuk kembali ke meja rundingan sekiranya keadaan mengizinkan dan ia sudah tentu akan memberi manfaat kepada sukan bola sepak negeri," katanya ketika ditemui.

Berdasarkan rekod, kelab Sporting Lisbon yang mempunyai akademi sendiri sudah melahirkan ramai pemain bertaraf dunia seperti legenda, Luis Figo dan Cristiano Ronaldo.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, TFC juga akan mengintai kelab lain yang bersesuaian dengan falsafah bola sepak negeri.

"Sebelum ini kita juga sudah mengadakan pertemuan dengan sebuah kelab dari Crotia di bawah jurulatih Tomislav Steinbruckner yang juga bekas jurulatih pasukan T-Team.

"Selain kelab itu, kita juga akan berusaha mencari kelab yang bersesuaian dengan falsafah bola sepak kita dalam misi untuk memajukan sukan bola sepak negeri selain melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sehebat Safawi Rasid," katanya.

Beliau berkata, bermula tahun depan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjadi rakan strategik dengan TFC Sdn Bhd dalam beberapa aspek dengan misi untuk memantapkan lagi pasukan dan juga kelab.

"Sebenarnya kerajaan negeri sudah ada hubungan yang cukup baik dengan universiti berkenaan, UniSZA kepakaran dalam sains sukan yang sangat aktif untuk membantu kita manakala UMT dalam jurusan perniagaan dan sebagainya bermula tahun depan kerana sebelum ini hanya dalam sudut pandangan.

"Jadi dengan adunan dan kerjasama itu sudah pasti akan membantu meningkatkan lagi sukan bola sepak negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 2:35 PM