PENYOKONG sudah tidak sabar dan sentiasa mendoakan agar legenda kesayangan mereka agar cepat sembuh. FOTO AFP
PENYOKONG sudah tidak sabar dan sentiasa mendoakan agar legenda kesayangan mereka agar cepat sembuh. FOTO AFP
AFP

Olivos: Legenda Argentina, Diego Maradona menunjukkan perkembangan positif selepas melakukan pembedahan otak untuk membuang darah beku dan berkemungkinan dibenarkan keluar dari hospital minggu ini.

Maradona, 60, melakukan pembedahan Selasa lalu untuk membuang darah beku di antara otak dan tengkorak kepalanya.

"Diego berada dalam keadaan mahu meninggalkan hospital dan kami menilai untuk membenarkan beliau keluar esok (hari ini) atau Rabu (esok), kami harus melihat di beberapa bahagian tapi perkembangannya sangat bagus," kata Leopoldo Luque.

Maradona, yang melakukan pengasingan selama dua minggu lalu selepas salah seorang pengawal keselamatannya mempunyai simptom Covid-19, kelihatan kurang sihat semasa sambutan hari lahir ke-60.

Dia mempunyai kesukaran berjalan dan tidak berminat untuk melihat perlawanan pasukannya.

Isnin minggu lalu, beliau dimasukkan di hospital di La Plata, selepas menunjukkan simptom anemia dan kurang air dalam badan.

Ujian yang dilakukan menunjukkan beliau mempunyai darah beku sebelum dipindahkan berjumpa dengan pakar.

Sejak melakukan pembedahan, beliau menunjukkan perkembangan positif, walaupun Luque mendedahkan Maradona bakal melakukan rawatan intensif dan ubat penenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 1:05 PM