LUQUE memaklumkan keadaan terkini Maradona pada sidang media di luar klinik. FOTO AFP
LUQUE memaklumkan keadaan terkini Maradona pada sidang media di luar klinik. FOTO AFP
AFP

Olivos, Argentina: Doktor yang berjaya menjalankan pembedahan otak untuk mengeluarkan darah beku ke atas legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona 'kagum' dengan proses pemulihannya.

Pakar bedah di klinik swasta di Buenos Aires itu menjalankan pembedahan itu pada Selasa malam menghabiskan 80 minit untuk mengeluarkan darah beku itu.

"Saya baru melihatnya, dia sudah sedar dan berada dalam keadaan baik. Kami kagum dengan proses pemulihannya," kata doktor Leopoldo Luque yang memaklumkan keadaan terkini bekas pemain bola sepak berusia 60 tahun itu.

"Tapi kami perlu berhati-hati kerana dia masih dalam keadaan pasca operasi," katanya.

"Jelas sekali bahawa dia tidak mengalami sebarang komplikasi neurologi," kata Luque.

"Ada beberapa perkara yang kami sedang tunggu untuk dinilai kerana ia masih terlalu awal tapi pemulihannya sangat baik."

Kenyataan yang dikeluarkan itu disambut dengan sorakan yang kuat dan laungan dari peminat Maradona yang menggantung sepanduk yang menggambarkan kejayaan proses pembedahan di luar klinik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 10:32 AM