MARADONA meninggal dunia pada November tahun lalu. FOTO AFP
MARADONA meninggal dunia pada November tahun lalu. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Ikon bola sepak Argentina, Diego Maradona tidak menerima rawatan secukupnya dan dibiarkan dalam tempoh panjang serta menyakitkan sebelum ditemui meninggal dunia pada tahun lalu, kata panel pakar perubatan.

Menerusi dokumen setebal 70 muka surat, panel berkenaan menyatakan Maradona yang mengalami serangan jantung pada 25 November di usia 60 tahun, 'mula meninggal dunia sekurang-kurangnya 12 jam' sebelum disahkan meninggal dunia di katilnya.

Maradona meninggal dunia hanya selepas seminggu menjalani pembedahan otak kerana darah beku.

Panel 20 pakar diminta pendakwa raya Argentina untuk menilai punca kematian dan menentukan sama ada wujud unsur pengabaian.

Pakar bedah Maradona, Leopoldo Luque, pakar psikiatri Agustina Cosachovdan dan ahli psikologi, Carlos Diaz kini disiasat bersama dua jururawat serta masing-masing koordinator jururawat dan perubatan.

Penemuan itu boleh mengakibatkan dakwaan melakukan kesalahan yang menyebabkan kematian dan dihukum penjara hingga 15 tahun jika didapati bersalah.

Maradona menjalani pembedahan pada 3 November, hanya empat hari selepas dia meraikan ulang tahun kelahiran ke-60 bersama kelab yang dilatihnya, Gimnasia y Esgrima.

Bagaimanapun dia dilihat tidak sihat dan mempunyai masalah untuk bertutur.

Maradona mengalami masalah ketagihan kokain dan alkohol sepanjang hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 9:25 AM