Leopoldo Luque (kiri) bersalaman dengan Maradona di Klinik Olivos, Buenos Aires. FOTO AFP
Leopoldo Luque (kiri) bersalaman dengan Maradona di Klinik Olivos, Buenos Aires. FOTO AFP
AFP

Olivos, Argentina: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona meninggalkan hospital hari ini selepas lapan hari menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di otaknya.

Maradona meninggalkan Klinik Olivos dekat Buenos Aires dengan menaiki ambulan sejurus selepas doktor Leopoldo Luque memberitahu wartawan dia akan pulang.

Luque sebelum itu memuat naik gambar di Instagram memeluk legenda berusia 60 tahun itu yang memakai kain lilitan di kepalanya.

Maradona dijangka akan terus menyambung proses pemulihan di Tigre iaitu 30 kilometer utara Buenos Aires, berdekatan kediaman anak perempuannya, Giannina.

"Diego mungkin melalui tempoh paling sukar dalam hidupnya," kata peguamnya Matias Morla sambil menambah bahawa ia adalah "keajaiban" apabila darah beku itu "yang boleh membunuhnya, dapat dikesan."

"Apa yang diperlukannya ketika ini ialah sokongan kuat daripada keluarganya dan dibantu pakar perubatan," kata Morla.

Bekas Kapten Argentina yang memenangi Piala Dunia itu, melakukan pembedahan Selasa lalu untuk membuang darah beku di antara otak dan tengkorak kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 10:49 AM