Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan Jalur Gemilang kepada Zii Jia (dua, kanan) ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia. FOTO Bernama
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan Jalur Gemilang kepada Zii Jia (dua, kanan) ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah bersedia mengalas tugas sebagai ketua pasukan di kejohanan utama iaitu Piala Sudirman dan Piala Thomas/Uber.

Jika selama ini bekas pemain negara Datuk Lee Chong Wei memainkan peranan sebagai perseorangan pertama negara setiap kali kempen Piala Thomas sejak 12 tahun lalu, namun Zii Jia yakin dengan pengalaman yang ada, dia bersama rakan pasukan yang lain mampu melakarkan kejutan.

Dibarisi skuad muda dengan purata umur 23 hingga 24 tahun, Zii Jia bagaimanapun mengakui tekanan tetap akan ada namun pengalaman yang diraih ketika saingan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China dan Sukan SEA 2019 di Filipina akan membantunya mengawal keadaan.

Katanya, dia percaya dengan semangat sebagai satu pasukan dia mampu untuk mengatasi segala rintangan dan sudah cukup bersedia untuk beraksi.

"Sama dan bermain secara individu dan berpasukan, tekanan tetap ada dan ia terpulang kepada kita bagaimana untuk mengatasinya.

"Tapi saya percaya, saya boleh atasi masalah itu. Saya juga percaya semua pemain dan rakan pasukan akan memberi sokongan kepada semua.

"Tidak kira menang atau kalah, kami sebagai satu pasukan akan terimanya," katanya yang tampil buat pertama kali di Piala Thomas pada 2018 sebagai perseorangan kedua.

Biarpun baru berusia 23 tahun tahun Zii Jia adalah antara pemain yang berpengalaman dalam skuad negara ketika ini disamping beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan selebihnya adalah pemain muda yang diberi kepercayaan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran buat skuad negara mara ke suku akhir yang mana mereka perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua sekurang-kurangnya.

Pada aksi Piala Thomas/Uber di Aarhus, Denmark, skuad lelaki negara di undi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Kanada dan England.

Manakala dalam saingan Piala Sudirman di Vantaa, Finland bermula 26 September ini skuad negara di undi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:32 PM