MEI Xing menjadi pemain paling senior dalam skuad Piala Uber negara. FOTO FB MEI XING TEOH
MEI Xing menjadi pemain paling senior dalam skuad Piala Uber negara. FOTO FB MEI XING TEOH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Kalau terus mengalah, lebih baik tak perlu pergi langsung."

Demikian kata-kata pembakar semangat pemain beregu wanita negara, Teoh Mei Xing yang enggan menyerah kalah terlalu awal menjelang saingan Piala Uber 2024 di Chengdu, China, bermula 27 April sehingga 5 Mei depan.

Menggalas tugas selaku pemain paling senior selepas ketiadaan gandingan Pearly Tan-M Thinaah yang menumpukan kepada persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024, Mei Xing akui merasai bebanan itu.

"Semua buat persediaan mereka dengan baik dan fokus untuk Piala Uber, tidak kira perseorangan atau beregu.

"Sedikit tekanan dirasakan, tetapi saya percaya keupayaan rakan sepasukan dan harap kami dapat pamerkan persembahan terbaik serta membuatkan penonton gembira dengan permainan kami.

"Kami tidak fikir banyak dan akan berikan apa yang termampu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara, semalam.

Mengulas undian di Chengdu, Mei Xing berkata, semua lawan pada Kumpulan B iaitu Thailand, Taiwan dan Australia adalah lawan sukar dan mempunyai kekuatan tersendiri.

Namun, katanya, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk skuad negara melangkah jauh terutama ke suku akhir.

"Tentu sekali tiada yang mustahil, kita perlu yakin boleh lakukan. Kita berjuang sehingga ke akhirnya (dan) kena percaya boleh pergi suku akhir, kalau terus mengalah, lebih baik tak perlu pergi langsung," katanya.

Kali terakhir skuad wanita negara mara ke suku akhir Piala Uber adalah di Kuala Lumpur pada 2010 dengan ketika itu tewas 0-3 di tangan Indonesia.

Sementara itu, Mei Xing berkata, dia kemungkinan besar akan digandingkan bersama Go Pei Kee selepas rakan gandingannya, Anna Cheong masih belum pulih daripada kecederaan.

Bagi saingan Piala Uber, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain perseorangan wanita berpengalaman, Goh Jin Wei dan K Letshanaa dalam pasukan.

Mereka akan disertai Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Mei Xing, Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:13 PM