Tze Yong
Tze Yong
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong bagi menggalas cabaran Malaysia di saingan Piala Thomas yang akan bermula dari 28 April hingga 5 Mei di Chengdu, China.

BAM menerusi kenyataan hari ini berkata, pembabitan Tze Yong dipilih selepas diberikan lampu hijau oleh pasukan perubatan tetapi ia akan tentukan melalui penilaian akhir nanti sama ada dia benar-benar cergas atau sebaliknya.

Selain Zii Jia dan Tze Yong, tiga lagi pemain perseorangan lelaki akan diperkuatkan oleh Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, beregu negara yang kini berada di ranking ke lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa cabaran utama sambil dibantu oleh Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri.

[ Sementara itu, untuk saingan Piala Uber, BAM menyenaraikan pemain perseorangan wanita berpengalaman, Goh Jin Wei dan K Letshanaa dalam pasukan.

Antara pemain lain yang turut terpilih adalah Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, kesemua pemain itu dipilih untuk membawa cabaran negara selepas pihaknya mengadakan perbincangan rapi dalam kalangan barisan kejurulatihan negara.

"Kami memantau rapi pemain semasa latihan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Selepas menilai keadaan dan prestasi mereka, pasukan kejurulatihan memuktamadkan skuad.

"Saya yakin pemain yang terpilih bersemangat untuk bersaing dalam kejohanan berpasukan berprestij dunia itu.

"Pemain sudah pasti akan memberikan yang terbaik di China. Beberapa pemain muda dalam kedua-dua skuad Piala Thomas dan Piala Uber akan tekad untuk membuktikan kemampuan mereka dan menampilkan menyampaikan persembahan terbaik," kata Rexy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 3:16 PM